Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun menafikan berlaku hubungan ‘dingin’ antara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti yang tular di media sosial.

Beliau yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) berkata, tiada pergolakan yang berlaku antara kedua-dua pemimpin dalam parti itu.

“Tidak. Saya menafikan sekeras-kerasnya. Ini saya kena nafikan. Kita tiada pergolakan. Saya harap tiada pihak yang cuba menunjukkan (perkara tidak betul),” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Kementerian Pembangunan Luar Bandar di sini pada Rabu.

Rina juga menegaskan, mesyuarat antara kedua-dua pemimpin itu berjalan seperti biasa langsung tidak menggambarkan Dr Mahathir ‘merajuk’.

“Saya baru bermesyuarat dengan beliau pagi tadi. Tan Sri Muhyiddin memang duduk sebelah Tun Dr. Mahathir. Okey saja. Saya tengok macam biasa sahaja,” jelasnya lagi.

Pada Rabu, tular di media sosial mengenai mesej di aplikasi WhatsApp yang mendakwa Dr Mahathir memanggil Majlis Tertinggi Parti (MPT) selepas Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu didakwa kononnya mengubah senarai exco Negeri Johor tanpa kebenaran beliau.

Malah mesyuarat berkenaan didakwa berjalan dalam keadaan penuh tegang dan menyebabkan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu dikatakan ‘merajuk’.