Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal dianugerahi Ijazah Kedoktoran Kehormat dalam Seni bagi Bidang Kepimpinan Sosial, Keusahawanan dan Politik daripada Rangsit University, Thailand pada lawatannya bermula hari ini.

Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan dan penghormatan tinggi yang diberikan oleh golongan akademik Thailand kepada beliau.

“Terutamanya di atas sumbangan dan pencapaian Perdana Menteri sebagai seorang tokoh pemimpin dan negarawan yang disegani di rantau ini.

“Penganugerahan tersebut secara langsung akan menaikkan imej Malaysia secara amnya dan Perdana Menteri secara khususnya di kalangan rakyat Thailand, terutamanya golongan akademik, politik dan professional, serta golongan muda dan pelajar-pelajar Thailand.

“Pengiktirafan ini juga akan menyumbang kepada peningkatan hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand, terutamanya dari segi jalinan sosial dan people-to-people contacts antara kedua-dua buah negara,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Majlis penganugerahan ijazah itu akan disampaikan oleh Presiden Rangsit University, Dr Arthit Ourairat pada Ahad.

Selain itu, beliau dijadual menyampaikan ucaptama dihadapan 5,000 graduan semasa majlis konvokesyen universiti tersebut.

Majlis penganugerahan itu akan didahului dengan Jamuan Gala bagi meraikan lawatan kerja Perdana Menteri yang dihos Presiden universiti itu pada Sabtu.

Sebelum ini, Thailand melalui Institut Pembinaan Bangsa (Nation-Building Institute) turut menganugerahkan beliau Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Pembinaan Bangsa (Sektor Awam) yang disampaikan oleh bekas Perdana Menteri Thailand, Anand Panyarachun.

Di Jepun pula, beliau dianugerahi The Grand Cordon of the Order of the Paulownia Flowers, anugerah tertinggi negara itu kepada pemimpin luar - selain di Singapura, beliau dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang oleh alma mater beliau, National University of Singapore (NUS).