Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selamat tiba di Pangkalan Udara Diraja Thailand, Don Mueang di sini bagi memulakan lawatan kerja dua hari ke negara itu.

Beliau yang ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali tiba pukul 11.30 pagi waktu tempatan.

Ketibaan beliau disambut Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel dan Attaché Pertahanan Malaysia di Thailand, Brigidier Jeneral, Baharuddin Ahmad.

Sementara mewakili Kerajaan Thai pula adalah Timbalan Perdana Menteri, Somkid Jatusripitak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Suwaphan Tanyuvardhana dan Duta Thailand ke Malaysia, Narong Sasitorn.

Dr Mahathir sebelum ini pernah mengadakan lima lawatan rasmi ke Thailand sepanjang tempoh beliau menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat antara 1981 sehingga 2003, yang terakhir pada 2003 semasa beliau menghadiri mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Bangkok.

Lawatan dua hari itu bermula dengan majlis sambutan rasmi di Bangunan Pentadbiran Kerajaan diikuti dengan mesyuarat dua hala dan sulit dengan rakan sejawatannya Jen Prayut Chan-o-cha di lokasi yang sama.

Kedua-dua pemimpin kemudian akan mengadakan sidang media bersama sejurus selepas mesyuarat.

Pada Khamis pula, Perdana Menteri dijadual menerima kunjungan hormat daripada pengerusi salah satu konglomerat tersohor, TCC Group, Tan Sri Charoen Sirivadhanabhakdi dan mengadakan mesyuarat dengan Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand Chamber of Commerce.

Dr Mahathir juga dijadualkan menemui rakan lamanya Jen (B) Prem Tinsulanonda yang merupakan bekas Perdana Menteri Thailand dari 1980 sehingga 1988 di kediamannya di Si Sao Thewes, Bangkok.

Bekas pemimpin berumur 98 tahun itu juga adalah Presiden Privy Council, badan penasihat paling berpengaruh kepada Raja Maha Vajiralongkorn.

Pada sebelah petangnya Dr Mahathir dijadual menghadiri majlis makan tengah hari dengan diaspora Malaysia di Thailand, sebelum berlepas Universiti Chulalongkorn untuk satu lagi majlis di sana.

Dr Mahathir akan menyampaikan syarahan bertajuk Hubungan Dua Hala "Malaysia-Thailand" dalam konteks Asean, sebelum menamatkan lawatannya ke Thailand.