Gedung buku terbesar di Malaysia, BookXcess Tamarind Square telah dilancarkan secara rasmi oleh isteri Perdana Menteri Tun Dr. Siti Hasmah pada awal pagi Jumaat.

Turut hadir ketika majlis pelancaran tersebut ialah kanak-kanak dari Pusat Jagaan Beribuan Kasih dan Pusat Baitus Sakinah.

Siti Hasmah juga sempat meluangkan masa bersama mereka selepas majlis perasmian gedung buku BookXcess.

Menurut Pengarah Eksekutif BookXcess, Jacqueline Ng, BookXcess merupakan salah satu usaha bagi meningkatkan kesedaran membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Ketika saya membaca artikel dalam surat khabar, statistik menunjukkan bahawa hanya dua peratus sahaja rakyat Malaysia yang membaca buku. Oleh itu, kami berhasrat untuk membuka kedai buku dan menjualnya dengan harga yang lebih rendah supaya semua orang mampu membeli buku selain menjadikan kedai kami mudah diakses oleh orang ramai," katanya ketika ditemui Astro AWANI.

BookXcess telah membuka 7 buah kedai buku di sekitar Lembah Klang dan cawangan Tamarind Sqaure merupakan yang terbesar dan yang pertama beroperasi 24 jam sehari.

Beliau berharap bahawa tiada lagi alasan daripada rakyat malaysia untuk tidak membaca buku kerana masyarakat kini boleh mengunjungi kedai buku pada bila-bila masa.

Telah mula beroperasi sejak Mei 2018, gedung buku ini juga bukan sahaja dibuka untuk jualan malah terdapat kafeteria, ruang kerja, ruang pameran seni, ruang acara dan juga ruang khas bagi kanak-kanak.