Allahyarham Tun Suhailah Mohamad Noah, yang meninggal dunia kira-kira 12.30 tengah malam tadi, meninggalkan banyak sumbangan kepada kesejahteraan rakyat negara terutama kaum wanita semasa hayatnya.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata pemergian Suhailah, ibu kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, sudah tentu meninggalkan kesan bukan sahaja kepada keluarga malah kepada negara secara keseluruhan.

"Kita berdoa agar roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang beriman," katanya ketika ditemui pemberita di majlis penghormatan terakhir dan pengebumian jenazah Allahyarham di Makam Pahlawan Masjid Negara di sini, hari ini.

Jenazah Allahyarham Suhailah, 82, balu Perdana Menteri Malaysia ketiga Tun Hussein Onn, selamat disemadikan kira-kira 2.25 petang ini.

Allahyarham Hussein meninggal dunia pada 29 Mei 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan jantung.

Sementara itu, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz berkata beliau yang amat rapat dengan Allahyarham bersama-sama berganding bahu menubuhkan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) semasa beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Kewangan pada 1977.

Katanya matlamat Allahyarham menubuhkan Bakti amat murni untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat di negara ini.

Badan tersebut didaftarkan pada 16 Mei 1977 yang bertujuan mensinergikan usaha isteri ketua negara dalam membantu semua perkara berkaitan.

Allahyarham Suhailah menjadi Presiden Bakti selama lima tahun dengan menyumbang dalam pelbagai aktiviti amal bersama anggota Bakti yang lain bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

Seorang daripada cucu Allahyarham, Onn Hafiz Ghazi, berkata Allahyarham terlantar di hospital berkenaan selama dua minggu kerana komplikasi paru-paru dan buah pinggang.

"Alhamdulillah, beliau meninggal dalam keadaan tenteram dan tenang," katanya kepada pemberita.

"Bagi pihak keluarga kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan pada semua yang mendoakan arwah. Kami juga ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang membantu dari pengurusaan jenazah. Sama-sama kita doakan juga agar roh arwah ditempatkan di kalangan orang beriman," kata beliau.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan Allahyarham seorang isteri yang sentiasa menyokong dan berdiri teguh di belakang suaminya semasa pentadbiran Allahyarham Hussein dari 1976 hingga 1981.

"Allahyarham seorang wanita pertama Malaysia yang disegani dan disayangi. Sentiasa memberi kekuatan kepada Tun Hussein Onn dan telah menyumbang banyak dalam pembangunan wanita terutama penglibatannya dalam Pandu Puteri," katanya.

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh yang juga rakan Allahyarham berkata Tun Suhailah seorang yang lemah lembut, tidak sombong dan bergaul tanpa mengira darjat.