Syarikat telekomunikasi, Tune Talk menyalurkan sumbangan bernilai RM100,000 kepada Persatuan Perubatan Malaysia Sabah (MMAS) sebagai usaha bersama dalam mengekang penularan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ameen Amaendran berkata, sumbangan dalam pelbagai bentuk itu sebagai tanda sokongan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus memerangi wabak itu.

"Doktor, jururawat dan kakitangan perubatan yang dedikasi di seluruh negara bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk menjaga kami rakyat Malaysia.

"Dengan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 28 April, ini adalah masa yang sesuai buat kami untuk memberikan sokongan penuh kepada petugas barisan hadapan ini," katanya.

Menurut Ameen dalam satu kenyataan pada Rabu, di Sabah dan Sarawak, peningkatan kes COVID-19 menyebabkan lebih banyak bantuan diperlukan.

Susulan inisiatif tersebut, kempen sumbangan The Power of 99 SEN turut dilancarkan mulai 15 April sehingga 30 April bagi meneruskan bantuan Tune Talk di Malaysia Timur.

"Fasa kedua inisiatif ini akan disumbangkan kepada rakan petugas perubatan barisan hadapan kami di Sarawak dalam membiayai bekalan perubatan serta keperluan harian bagi mengurangkan beban mereka," kata Ameen.

Pelanggan Tune Talk dapat memainkan peranan mereka dan menyumbang dengan menghantar pesanan SMS '99SEN' ke 2222.

Sejumlah 99 sen daripada kredit mereka akan dipotong dan dijadikan sumbangan.

Maklumat lanjut mengenai inisiatif Inisiatif Power of 99 SEN ini boleh didapati di platform media sosial rasmi syarikat atau dengan melayari laman web www.tunetalk.com.