Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador hari ini mengingatkan kepada orang ramai agar menghentikan sebarang penyebaran berita palsu berkenaan penahanan Low Taek Jho atau Jho Low yang tular minggu lalu.

Jelasnya, semua pihak perlu bersabar menunggu ahli perniagaan itu ditahan dan dibawa pulang ke negara ini.

“Macam mana kita bersabar menunggu waktu berbuka puasa, begitulah kita sabar menunggunya. Satu hari lagi genap kita punya puasa, maka kita bersabar. Begitulah seterusnya dalam masa terdekat.

"Ya, berapa lama dah kita tunggu sejak kes terbongkar? Kita dah tahu dah, di mana ya? (Tanya kepada wartawan)... Di mana-mana sahaja.

"Yakinlah bahawa kita dah tahu, tak mahu komen perkara ini lagi lah," katanya.

Jelas Abdul Hamid, pengumuman akan dilakukan pihaknya jika ada perkembangan mengenai ahli perniagaan yang diburu itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Operasi dan Penguatkuasaan Zon Timur 1 di Plaza Tol Gombak pada Isnin.

Isu penangkapan Jho Low hangat diperkatakan selepas maklumat palsu mengenai penahanan ahli perniagaan itu tular di laman sosial minggu lalu.

Dalam majlis itu, Abdul Hamid turut menyampaikan bubur lambuk dan risalah keselamatan kepada pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT).