Tindakan terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Tan Sri Musa Aman akan diambil apabila beliau pulang ke Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat maklumat bahawa Musa masih berada di United Kingdom (UK).

“Saya dimaklumkan dia berada di UK. Kita (PDRM) tunggu. Kalau kita kena tunggu dia balik, segala tindakan undang-undang akan kita jalankan.

“Maklumat yang kita terima, memang dia (Musa) sah berada di UK. Beliau berada di bahagian mana di UK? Kita (PDRM) pun tak tahu perinciannya.

“Kita tunggu respon daripada rakan-rakan (Interpol) kita di UK, baru kita ambil tindakan susulan,” katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi PDRM kali ke-38 di sini hari ini.

Mohamad Fuzi menambah sehingga kini, PDRM masih belum menghantar pasukannya ke sana untuk mencari Musa dan masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa UK.

Pada 29 Jun lalu, media melaporkan polis telah menyerahkan notis merah kepada polis antarabangsa (Interpol) sebagai tindakan terhadap Musa yang dilaporkan berada di UK.