Kementerian Luar menasihati rakyat Malaysia yang berada di Iran atau merancang ke negara itu untuk sentiasa berwaspada.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, rakyat Malaysia juga dinasihati untuk mengelak daripada berada di tempat yang sesak.

"Mereka perlu sentiasa berwaspada terhadap situasi sekeliling setiap masa, sentiasa berhati-hati semasa program keramaian serta mengelakkan diri daripada tempat yang sesak.

"Mereka juga perlu peka terhadap laporan media berkenaan situasi semasa serta mengambil pertimbangan dalam setiap perkembangan semasa merancang perjalanan," memetik kenyataan media tersebut.

Malah, Kementerian Luar sentiasa memantau situasi semasa di Iran.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam siri tunjuk perasaan di negara itu.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan atau maklumat lanjut boleh terus ke Keduataan Malaysia di Iran di No.25, Second Alley, North Zarafshan St., Eyvanak Blvd, Phase 4, Shahrak Qods, P.O. Box 868, Tehran.

Ia boleh dihubungi di talian (+9821) 8807 2444 atau (+9821) 8807 8606, faks (+9821) 8807 8716 dan emel [email protected].

Menurut laporan, sekurang-kurangnya 21 orang terkorban dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan tentera kerajaan di Iran.

Tunjuk perasaan yang bermula Khamis lepas di bandar Mashhad itu pada awalnya berpunca daripada kemarahan terhadap kenaikan harga barang dan rasuah sebelum merebak kepada anti kerajaan.