BERDISIPLIN, negarawan istimewa dan berwawasan jauh.

Itu adalah antara rangkuman pandangan terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika soalan mengenai beliau diajukan kepada beberapa pemimpin organisasi dan anggota masyarakat.

Astro AWANI menemui beberapa individu untuk bercerita tentang sifat dan sikap Dr Mahathir seperti yang mereka rumuskan menerusi pemerhatian masing-masing.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, Dr Mahathir ibarat hadiah yang ‘kehadirannya’ untuk negara bukan hanya sekali.

“Dulu sudah satu hadiah, ni hadiah yang datang sekali lagi. Saya rasa ia merupakan satu anugerah kepada negara dan masyarakat kita terutama masyarakat Islam. Kita lihat orang ini orang yang luar biasa yang dalam umur 93 tahun , berdaya untuk membuat sesuatu dalam membawa perubahan,” ujar beliau.

Tambah Nadzim, dia mengagumi tenaga Dr Mahathir, dan mengakui jika dirinya dalam usia 50 tahun pun, dia tidak mampu untuk menanggung setengah daripada tanggungjawab yang dipikul Dr Mahathir sekarang ini.




Ketepatan waktu

Aspek disiplin yang ada pada Dr Mahathir pula adalah perkara yang amat dipandang tinggi oleh Pengarah Urusan Mydin Datuk Ameer Mydin.

Menurutnya yang pernah banyak kali menemui sosok negarawan itu, ada beberapa perkara utama yang diperhatikan padanya.

“Ada dua tiga perkara bila tengok Tun M ni. Satu, beliau sangat berdisiplin dan menepati waktu. Kedua, dia akan ambil nota. Kalau ada apa-apa point, dia akan ambil nota. Bila kita tulis baru kita boleh ingat, kalau tak tulis, kita tak boleh ingat.

“Seterusnya saya nak terima kasih kepada Tun M. Walaupun umur dah meningkat, dia mari balik untuk memimpin negara kita yang kita sayangi. Saya harap dan bukan saya saja, tapi semua rakyat Malaysia harap dia akan jaga dan akan buat sebaik-baiknya untuk negara kita,” ujarnya.




Terbaik untuk negara

“Sejak saya lahir dan sedar, dialah Perdana Menteri. Dan bila dia jadi PM selama lebih 20 tahun, dialah kita rasa yang terbaik untuk negara,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman.

Beliau menambah, Dr Mahathir telah mengharumkan Malaysia di luar negara. Hinggakan di mana-mana pun, dari Jepun hinggalah ke Mekah, orang menyebut namanya. Maka, menurut Ahmad Yazid, Dr Mahathir ialah negarawan yang boleh membanggakan tanah air.

“Dia takda kompromi, dia sentiasa meletakkan negaranya di hadapan dan itu menjadikan dia ikon walaupun dia dah bersara dulu,” katanya.