Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang bekas pegawai Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Johor bagi membantu siasatan berkaitan tuntutan palsu melebihi RM400,000 pagi Selasa.

Susulan penahanan lima kontraktor lelaki terlibat Isnin malam, wanita berumur 30 tahun itu ditahan di pejabat SPRM di sini, pada kira-kira 11 pagi Selasa.

Menurut sumber SPRM, hasil siasatan mendapati wanita itu bersubahat dengan semua kontraktor terlibat dalam membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penganjuran Program Karnival SDSI (Satu Daerah Satu Industri) dan Keusahawanan bagi daerah Segamat, Mersing, Muar, Kluang, Tangkak dan Kulai serta Program Minggu PKS (Program Kecil dan Sederhana) Kebangsaan Peringkat Negeri Johor, dua tahun lepas.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

-- BERNAMA