PUTRAJAYA: Seorang pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah hampir RM27,000.

Perintah reman sehingga 25 September depan itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Putrajaya pada jam kira-kira 5.30 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, suspek yang bertugas di salah sebuah PBT itu telah mengemukakan tuntutan palsu berkaitan sewaan perkhidmatan lori dengan menggunakan resit yang mengandungi butiran matan palsu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.