Tuntutan Sabah terhadap 40 peratus daripada hasil negeri ini seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hanya akan dapat dilaksanakan selepas kedudukan kewangan negara kembali kukuh.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata sebelum merealisasikan tuntutan itu kedudukan kewangan negara perlu dikukuhkan terlebih dahulu bagi mengelakkan negara akan bankrap.

Katanya, apa yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya yang lalu sentiasa menjadi keutamaan namun beliau berharap agar rakyat dapat memahami masalah kedudukan kewangan negara ketika ini.

"Kita kukuhkan kedudukan kewangan kita dahulu, sekiranya kedudukan kewangan tak dipulihkan semula kita akan jadi bankrap, sekiranya Malaysia jadi bankrap semua negeri pun akan terjejas,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Pejabat Baharu Kastam Kota Kinabalu, yang dikenali sebagai Menara Kastam Sabah, hari ini.

Pembinaan pejabat baharu Kastam ini telah bermula sejak tahun 2014 dengan tempoh pelaksanaan selama 40 bulan dan tarikh sepatutnya siap adalah pada April 2017.

Walau bagaimanapun, atas sebab-sebab teknikal yang tidak dapat dielakkan iaitu melibatkan kajian sismik (seismic study) maka jadual pelaksanaannya telah dipinda kepada 29 Julai 2018 dengan menelan kos sebanyak RM66.6 juta dengan siling projek sebanyak RM84.6 juta.