Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan minat untuk membawa masuk teknologi kereta berkuasa tinggi Turki ke Malaysia.

Beliau menjelaskan, hasrat itu sudah dipendam lama namun tidak dapat diteruskan kerana ketika itu beliau bukan perdana menteri.

“Dia (kereta berkuasa tinggi Turki) nampak berkebolehan sebenarnya, saya sudah berkenan lama tetapi tidak ada susulan kerana ketika saya dapat tahu maklumat ini, saya bukan perdana menteri, jadi terganggu sedikit hendak buat.

“Tetapi sekarang dia (Turki) bersedia untuk kerjasama dengan kita bukan hanya kereta ini tetapi kereta-kereta lain,” katanya.

Terdahulu beliau dibawa melihat kereta berkuasa tinggi keluaran syarikat Onuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menyifatkan pembangunan di Turki dianggap sudah mencapai tahap negara maju, malah kata Perdana Menteri, tidak banyak negara Islam yang berpeluang mencapai tahap pembangunan seperti Turki.

“Saya dapati memang ada pembangunan, jalannya baik, jambata didirikan, tempat tinggal penduduk nampak bersih dan elok dan saya berpendapat, mereka sudah sampai ke satu tahap jadi negara maju,” katanya semasa sidang media rangkuman lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri di Turki di sini, pada Sabtu.

Turki merupakan sebuah negara Eurasia yang terletak di antara benua Eropah dan Asia.

Sebahagian besar Turki terletak di Semenanjung Anatolia di Asia dan bahagian kecil wilayahnya terletak dalam wilayah Balkan di barat laut benua Eropah.