Sebuah firma di Turki, Mental HR Consultancy telah melancarkan projek 'Work4Malaysia' yang akan membuka peluang latihan dan kerjaya dalam pelbagai sektor kepada rakyat Malaysia yang berkelayakan.

Pengarah Pengurusan Bakat syarikat itu, Ugur Karaboga berkata inisiatif itu dilancar berdasarkan persefahaman dan ilmu pengetahuan antara Malaysia dan Turki di samping berkongsi tenaga kerja berkemahiran yang dimiliki kedua-dua negara Islam yang dihormati tersebut.

Mengambil saranan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyarankan rakyat Malaysia patut ke Turki untuk bekerja dan menimba pengalaman agar mereka dapat membantu memajukan Malaysia apabila kembali ke tanah air, Karaboga berkata beliau nampak potensi kerjasama melalui latihan dan peluang kerjaya kepada belia Malaysia dan Turki.

"Kami akan memilih calon berdasarkan kelayakan pendidikan mengikut program yang dipohon. Mereka kemudiannya perlu menduduki peperiksaan yang akan menilai keupayaan bahasa dan pengetahuan am. Calon yang berjaya melepasi semua proses tapisan akan ditawarkan tempat di syarikat bersesuaian dan memulakan kerjaya mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Mental HR akan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan juga pihak berkuasa dalam memastikan kejayaan "Work4Malaysia".

Karaboga berkata sebelum ini terdapat beberapa inisiatif yang dilaksanakan Mental HR seperti program Bahasa, Kebudayaan dan Pertukaran diadakan di Malaysia yang telah beberapa kali berjaya dilaksanakan.

Kemudian, sebahagian peserta diserap untuk menyumbang bakat mereka di beberapa syarikat utama di Turki.

Menegaskan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan Turki boleh ditingkatkan lagi menerusi kerjasama dalam pelbagai bidang stategik seperti perdagangan dan perniagaan, pelancongan, sains dan teknologi, industri dan pendidikan, katanya: "Kini peluang yang sama terbuka kepada remaja Malaysia yang berbakat yang mahu membina kerjaya mereka di Turki."

Untuk maklumat lanjut mereka yang berminat boleh melayari www.mentalik.com dan https://work4malaysia.com

-- BERNAMA