Kerajaan Turkmenistan berhasrat melanjutkan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) selama 10 tahun lagi kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk beroperasi di negara itu sehingga 2038, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, hasrat itu disampaikan Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedov ketika beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin berkenaan pada Ahad (27 Oktober).

“Saya ada berbincang dengan Presiden (Turkmenistan) dan dia mengalu-alukan peranan Petronas di Turkmenistan. Dia menyatakan hasratnya supaya Petronas terus aktif di sini dan dia cakap extension (lanjut) (PSC) selama 10 tahun lagi,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia pada malam Ahad (27 Okt), sebelum mengakhiri lawatan rasmi dua hari beliau ke Turkmenistan pada Isnin.

Pada 1996, Petronas diberikan PSC selama 32 tahun yang berakhir pada 2028 untuk mengeluarkan gas asli di kawasan Blok 1 di Laut Caspian.

Ketika ini Turkmenistan berada di kedudukan keempat teratas di dunia yang mempunyai simpanan gas asli bawah tanah, selepas Russia, Iran dan Qatar.

Simpanan gas asli yang ada sekarang ialah sebanyak 20 trilion meter padu, namun jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana masih banyak kawasan di negara itu yang masih belum diteroka.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, pelanjutan PSC itu menunjukkan kerajaan Turkmenistan berpuas hati dengan peranan yang dilakukan Petronas dan beliau yakin negara tersebut akan mempertimbangkan konsesi lain kepada syarikat petroleum nasional itu.

Beliau berkata di Turkmenistan, Petronas terlibat 100 peratus dalam aktiviti mengeluarkan minyak dan gas di negara berkenaan, berbanding 15 peratus di Azerbaijan.

Sebelum melakukan lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan, Dr Mahathir berada di Azerbaijan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, semasa pertemuannya dengan Berdimuhamedov, Presiden Turkmenistan itu telah menyuarakan hasratnya supaya diadakan pameran barangan Malaysia di negara tersebut.

Beliau berkata, Berdimuhamedov juga berpendapat bahawa banyak bidang yang boleh dikembang dan ditingkatkan antara Malaysia dan Turkmenistan.

“Kita mendapat sambutan amat baik, mereka very friendly (sangat mesra) dan saya berpendapat kita boleh adakan dagangan dengan mereka walaupun jumlah penduduknya cuma lima juta orang, tetapi ada (hasil) pendapatan daripada minyak. Mereka kaya, jadi ada baik bagi kita mengambil bahagian dalam dagangan dengan mereka.

“Mereka juga berhasrat supaya mengadakan shipbuilding (pembinaan kapal) di sini, dan kita mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan berkenaan shipbuilding... kita boleh periksa (lihat) sama ada kita boleh ambil bahagian dalam shipbuilding di sini,” katanya.

Pada Ahad (semalam), Dr Mahathir dan Berdimuhamedov, mengadakan mesyuarat terhad diikuti mesyuarat dua hala dan majlis pemeteraian program kerjasama.

Delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - BERNAMA