Kemunculan saluran TV OKEY mampu membuka ruang kepada rakyat Sabah dan Sarawak dalam menggunakan idea dan bakat mereka dalam membangunkan industri kreatif di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, inisiatif ini adalah selari dengan agenda penyiaran industri untuk mengembangkan industri kreatif.

"Saya melihat Sabah dan Sarawak mempunyai khazanah dari segi kualiti yang boleh kita ketengahkan dalam bidang kreativiti kerana kebanyakan orang Sabah dan Sarawak mempunyai bakat yang tinggi.

"Bakat sebagai penyanyi, bakat sebagai penari, bakat bagi mereka yang terlibat dalam bidang drama dan dokumentasi, dan segala-galanya yang berkaitan dengan bidang kreatif.

"Jadi, kita bina saluran baharu untuk menggilap kemampuan penduduk di kedua-dua buah negeri," kata beliau ketika merasmikan Majlis Pelancaran Saluran TV OKEY di Hotel Hilton Kota Kinabalu, Rabu malam.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Tun Openg dan isteri, serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Menurut Najib, kerajaan turut mensasarkan pendapatan negara sebanyak RM3.04 bilion menerusi saluran baharu ini.

"Kita lihat program-program hari ini sudah pun diterima di peringkat antarabangsa terutama di Indonesia, Ireland, Singapura dan Mexico.

"Produk animasi kita turut melepasi pasaran antarabangsa dan saluran TV OKEY ini sekali gus membuka peluang kepada penggiat seni tempatan," katanya.

Tambahnya, saluran terbaharu ini juga mampu memberi lonjakan pembangunan ekonomi Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Salleh berkata: "Penjenamaan TV ini menggunakan 'bottom up approach' di mana libat urus dijalankan dengan rakyat dari peringkat akar umbi.

"Kerajaan mengambil kira dan menghargai input dari rakyat yang menyuarakan rasa 'OKEY' mereka terhadap keadaan seharian walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran."

Saluran TV OKEY memberi informasi dan hiburan menerusi pelbagai genre rancangan dengan memaparkan warna-warna kehidupan seharian serta adat resam dan kepelbagaian gaya hidup masyarakat di Sabah dan Sarawak.

Ia merupakan satu lagi usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam mendukung cita-cita masyarakat tersebut.

"OKEY" diambil sempena elemen-elemen penting yang akan dipaparkan di saluran ini – Opportunity (peluang), Knowlege (ilmu), Experience (pengalaman) dan Your (untuk penonton).

TV OKEY boleh diikuti di saluran Astro 109 dan MyFreeview 110 serta aplikasi RTM Mobile.