Sikap biadab pengacara popular, Azwan Ali yang mencetuskan kontroversi kerana tweetnya baru-baru ini dikatakan tidak menggambarkan teladan dan sifat seorang Muslim sebenar.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, apa yang dipaparkan Azwan di akaun Twitternya juga menunjukkan ciri-ciri golongan fasik.

"Sikap dia bukan sikap Muslim yang berpuasa. Bulan puasa begini kita hendak lahirkan orang yang bertakwa.

"Jadi apa yang dia lakukan itu menggambarkan sifat fasik. Dia seperti tidak menghormati bulan Ramadan. Apa yang dia cakap bukan macam orang berpuasa.

"Tuduh menuduh dan memaki orang lain bukan sifat Muslim. Dia bukan sahaja menuduh malah kenyataannya penuh dengan prasangka buruk," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dr Harussani mengulas kontroversi Azwan yang tersalah tafsir komen seorang pengikutnya di Twitter.

Paparan skrin daripada Twitter yang memaparkan Azwan Ali memaki seorang pengguna Twitter.

Catatan awalnya bertanya restoran terbaik untuk berbuka puasa sekali gus mendapat reaksi pengikutnya yang mencadangkan restoran 'Me'nate'.

Azwan yang tersalah anggap jawapan itu terus mengherdik pengikutnya yang bernama NurAziraWA dengan kata cacian selan dianggap sesuatu yang kelakar dan memalukan oleh pengguna sosial lain.

Sementara itu kata Dr Harussani, Azwan juga diminta menghayati surah al-Hujurat yang jelas meminta orang-orang yang beriman untuk menjauhi sifat banyak prasangka buruk kepada orang lain.

"Ayat di dalam surah itu jelas meminta orang-orang yang beriman supaya tidak mencari-cari kesalahan dan keaiban orang selain tidak mengumpat," ujarnya.

BACA: Isu Farah Ann: 'Gimnastik bukan untuk wanita Islam' - Mufti Perak

Sebelum ini, Dr Harussani dilaporkan berkata, mana-mana individu beragama Islam tidak boleh sewenang-wenangnya mempertikaikan hukum menunjukkan aurat kepada bukan muhrim yang sudah jelas termaktub di dalam al-Quran dan Hadis termasuk larangan membuka aurat di dalam isu sukan.

Katanya, isu itu seharusnya sudah jelas sejak berzaman dan tidak terlalu terikut-ikut dengan konsep serta cara pemakaian yang diperkenalkan negara Barat.

Dr Harussani berkata demikian ketika mengulas mengenai isu gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi yang gambarnya dimuat naik di laman Facebook sebuah stesen televisyen dengan dengan penampilan pakaian ketat.