Peranan petugas penguatkuasa barisan hadapan membanteras COVID-19 di negeri Sarawak terus dihargai.

Ini terbukti selepas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud menghulurkan bantuan berupa pek makanan kepada 759 petugas barisan hadapan pada Jumaat.

Sumbangan pek makanan berupa nasi briyani ayam dan air mineral itu diserahkan kepada bilik agihan Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sarawak.

Sumbangan itu disampaikan Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Datu Mustapa Han kepada Ketua Jabatan Ketenteraman Awam IPK Sarawak, Superintendan Ismail Mahmood.

Menurut Mustapa, sumbangan itu sebagai tanda penghargaan usaha pekerja barisan hadapan.

Tambahnya juga, pihak Astana Negeri Sarawak akan sedaya upaya cuba untuk meluaskan bantuan kepada pihak barisan hadapan yang lain.

Pada masa sama, Taib dan isteri, Toh Puan Patinggi Ragad Kurdi Taib turut menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan di Sarawak atas pengorbanan serta komitmen mereka melaksanakan tanggungjawab.