Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada Selasa melancarkan Aplikasi Mobile Jejak Asnaf (MoJA) dalam usaha memaksimumkan lagi agihan zakat di Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata aplikasi mudah alih itu membolehkan sesiapa sahaja membantu MAIWP dalam mengesan dan melaporkan asnaf di Wilayah Persekutuan.

"Sering kali juga kita mendengar dakwaan yang menyatakan pegawai agihan zakat tidak proaktif, hanya tunggu di pejabat dan tidak turun padang.

"Dakwaan ini adalah tidak tepat sama sekali kerana MAIWP mempunyai Skuad Jejak Asnaf Baitulmal yang sentiasa turun padang dan cakna kepada mereka yang tercicir daripada menerima bantuan zakat," katanya pada pelancaran aplikasi tersebut di sini pada Selasa.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini melancarkan Aplikasi Mobile Jejak Asnaf (MoJA) - Foto Astro AWANI

Katanya, menerusi aplikasi berkenaan, pengadu boleh mengambil gambar dan memuat naik menerusi aplikasi tersebut bagi memudahkan rujukan Skuad Jejak Asnaf.

"Dengan cara ini, MAIWP akan dapat membantu seramai mungkin mereka yang dalam kesusahan dan mengurangkan kadar keciciran," tambah Zulkifli.

Aplikasi ini dilengkapi dengan ciri-ciri pengesanan lokasi GPS bagi memudahkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP untuk turun padang terus ke lokasi yang dilaporkan.

Justeru, Zulkifli menyeru orang ramai khususnya yang menetap di Wilayah Persekutuan untuk memuat turun aplikasi tersebut di Google Play Store dan Apple Apps Store sekali gus membantu MAIWP menyantuni mereka yang memerlukan.

Muat turun aplikasi tersebut di Google Play Store dan Apple Apps Store sekaligus membantu MAIWP menyantuni mereka yang memerlukan semaksimum mungkin. - Foto Astro AWANI