Mengubahsuai sistem pendawaian kenderaan tanpa mengikut spesifikasi merupakan antara punca utama berlakunya peningkatan kes kebakaran melibatkan kenderaan sejak kebelakangan ini.

Di Kedah sahaja, peningkatan direkodkan membabitkan sebanyak 51 kes dalam tempoh tiga bulan tahun ini, serta satu kematian.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zahar Abdullah berkata, kebanyakan kes dipercayai berpunca daripada pengubahsuaian pada sistem pendawaian kenderaan.

Katanya, sepanjang tahun lalu sebanyak 208 kes kebakaran kenderaan dilaporkan, melibatkan satu kematian, manakala pada 2016, terdapat 187 kes dengan dua kematian.

"Kenderaan yang mengubahsuai pendawaian elektronik memang mudah berlaku kebakaran.

"Jadi, kita nasihatkan supaya, masyarakat yang mahu buat pengubahsuaian, rujuk kepada pakar elektrik ataupun pendawaian.

"Ini supaya pendawaian yang dibuat itu dengan cara yang betul, tidak boleh mendatangkan kebakaran," katanya.

Mohd Zahar ditemui pada Majlis Penutupan Pertandingan Pemilihan Kadet Bomba Peringkat Negeri di Balai Bomba dan Penyelamat Yan di sini hari ini.

Dalam kejadian terbaru 26 Mac lalu di Kilometer 6.3 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Bukit Kayu Hitam, sebuah kereta Nissan Cefiro terbakar ketika sedang dipandu.

Kejadian itu mengakibatkan mangsa, seorang doktor perubatan, rentung di dalam kenderaannya.

Kes itu masih dalam siasatan Bahagian Siasatan Forensik JBPM Kedah bagi mengenal pasti punca kebakaran yang melibatkan berlaku letupan sebelum kenderaan yang dipandu mangsa itu hangus 90 peratus.

Mohd Zahar berkata, salah satu punca berlakunya kebakaran adalah kecuaian pemilik kenderaan yang meninggalkan 'power bank' di dalam kereta.

Ini kerana, jelasnya, suhu panas yang melampau adalah salah satu punca yang boleh menyebabkan kebakaran kenderaan.

Sementara itu, pada 8 Februari lalu, seorang guru terkejut apabila kenderaan yang diparkirnya berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Kemunting, Jitra, tiba-tiba terbakar.

Dalam kejadian itu, kereta jenis Honda CRV hangus terbakar.