Longgokan ubat beracun terbiar di tepi jalan di kawasan Hutan Simpan Ulu Gombak, Selangor yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan semalam, bukan daripada fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua fasiliti KKM melupuskan ubat-ubatan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan iaitu melalui pihak Kualiti Alam Sdn Bhd atau perkhidmatan sokongan hospital, Radicare.

Beliau berkata KKM sentiasa mengambil berat tentang kesejahteraan rakyat dan memandang serius penemuan itu.

"Syarikat atau pemegang lesen ubat sentiasa diingatkan supaya mematuhi garis panduan dan lunas undang-undang sedia ada yang telah ditetapkan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut laporan akhbar terbabit, isu longgokan ubat luput tarikh itu pernah dilaporkan pada 10 Disember 2015 dan pihak bertanggungjawab didapati tidak membuang sepenuhnya ribuan kotak ubat-ubatan tersebut.

Dr Noor Hisham berkata, susulan daripada laporan terbaharu semalam, KKM telah pergi ke lokasi tersebut bersama wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan penduduk Kampung Orang Asli Kampung Batu 16 Gombak.

"Hasil penemuan mendapati lokasi yang dilaporkan adalah berlainan daripada lokasi asal longgokan ubat yang telah dilaporkan (oleh akhbar sama) pada 10 Disember 2015. Malah, longgokan ubat di lokasi lama telah dibersihkan," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya ubat-ubatan yang didapati dalam kawasan tersebut merupakan ubat yang hampir sama dengan penemuan sebelumnya yang telah diambil tindakan oleh JAS.

"Syarikat ubat yang berkenaan telah mengambil langkah-langkah bagi memastikan perkara ini tidak berulang lagi," katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh berkongsi maklumat jika terdapat penemuan seperti itu dengan menghubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi di talian 03-7841 3200 atau laman web moh.spab.gov.my atau berhubung terus dengan JAS.

Mengulas mengenai isu penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar dan beracun di pasaran, Dr Noor Hisham berkata sejak 2014 hingga Mei 2016, KKM telah memeriksa sebanyak 43,195 premis menjual ubat dan produk kesihatan dalam 3,370 serbuan dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM77.1 juta.

Di samping itu, katanya aktiviti-aktiviti perlindungan pengguna seperti ceramah, pameran dan dialog juga diadakan bagi memperkasakan pengetahuan pengguna tentang ubat dan produk kesihatan di Malaysia.

"Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM akan meneruskan lagi pemantauan secara berterusan di premis tidak berlesen seperti toko-toko jamu dan kedai kecantikan," katanya.

Menurutnya aduan mengenai individu atau premis yang menjual ubat tidak berdaftar di pasaran atau secara dalam talian boleh dibuat kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi di talian 03-7841 3200 atau laman web moh.spab.gov.my.

Dr Noor Hisham berkata pengguna juga boleh menyemak status pendaftaran produk kesihatan di laman web www.pharmacy.gov.my atau www.bpfk.gov.my, serta melalui laman Facebook Pilih Ubat Berdaftar.