Beberapa ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah termasuk pengerusinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah dalam kenyataan berkata, mesyuarat harian jawatankuasa itu akan tetap berjalan seperti biasa menerusi persidangan video bermula minggu ini sepanjang tempoh kuarantin.

"Sebarang kenyataan atau maklumat yang perlu diketahui orang awam akan disampaikan melalui media massa," kata Uggah.

Dalam perkembangan sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian turut mendedahkan beliau sedang menjalani arahan kuarantin di rumah.

Dalam posting di Facebooknya, beliau berkata arahan itu merupakan SOP biasa susulan salah seorang ahli jawatankuasa yang hadir mesyuarat pada 27 mac lalu disahkan positif COVID-19 //

Bagaimanapun katanya, beliau berada dalam keadaan baik.


Selain itu, Sarawak hari ini merekodkan 28 kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah bilangan kes di negeri itu sebanyak 239 kes sejak kes pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

Daripada jumlah positif baharu itu, 25 kes dirawat di Hospital Umum Sarawak dan tiga kes di Hospital Miri.

Hari ini juga, sebanyak 130 kes baharu Person Under Investigation (PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,509 kes.