KUALA LUMPUR:Polis sedang memburu seorang lelaki dikenali sebagai Sebastian yang mengugut untuk menembak mati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya membuka kertas siasatan berhubung kes itu dan sedang mengesan suspek .

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 41 Akta Hasutan.

"Kita telah buka kertas siasatan. Antaranya membabitkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong pada 13 November lalu serta ugutan terhadap Ketua Polis Negara semalam," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun ada pihak mendakwa suspek tidak siuman, polis tetap akan mengesannya untuk siasatan lanjut.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki mendakwa dirinya ketua komander kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) 2.0 mengugut mahu menyerang Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Individu terbabit yang menghantar ugutannya melalui e-mel kepada pihak media turut mendakwa akan menyerang Sri Lanka selepas serangan itu.

Dia juga mendakwa akan menembak mati Abdul Hamid.