Polis menahan dua lelaki yang dipercayai Ah Long selepas mengugut dan memalukan seorang peminjam yang gagal menjelas hutang di Facebook.

Suspek, masing-masing berusia 20 dan 29 tahun, ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam selepas menularkan gambar kad pengenalan dan gambar anak-anak mangsa di dalam laman media sosial itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang merupakan seorang ahli pernigaan berusia 57 tahun, membuat pinjaman dengan Ah Long berkenaan sebanyak RM45,000 tahun lalu.

"Perjanjian bayaran hutang berkenaan adalah sebanyak RM670 sehari. Pada Disember lalu, mangsa berjumpa dengan Ah Long berkenaan dan menerima wang sebanyak RM45,000," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Wazir berkata, selepas memperolehi wang berkenaan, mangsa mendakwa sentiasa membuat bayaran pinjaman seperti mana yang dijanjikan.

"Namun pada Ahad lalu, mangsa menerima mesej daripada rakan yang menyatakan gambar kad pengenalannya ditularkan di dalam Facebook di bawah akaun 'Genie Rain'," katanya.

Mohd Wazir berkata, di gambar yang ditularkan itu, turut diletakkan dakwaan yang mangsa tidak membayar hutang.

"Selain daripada itu, Ah Long berkenaan juga mengugut hendak mencederakan mangsa sekiranya gagal membuat pembayaran. Mangsa juga tidak berpuas hati dengan tindakan Ah Long berkenaan yang juga menularkan gambar anak-anaknya di Facebook," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis di IPD Kuantan semalam, kerana bimbang berlaku perkara yang tidak diingini kepada keluarganya nanti.

"Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM250,000 dan maksimum RM1 juta atau boleh dipenjarakan sehingga lima tahun, atau kedua-duanya," katanya.