Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mendapat pengiktirafan selaku peneraju pusat kepakaran serantau dari United Nations University (UNU).

UIAM dalam kenyataannya berkata, pusat kepakaran serantau yang diberi nama RCE Greater Gombak itu merupakan yang pertama berteraskan fungsi pendidikan untuk pembangunan lestari.

“UIAM menyertai 180 pusat kepakaran serantau di dunia yang memberikan fokus kepada pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pendidikan.

“Di bawah RCE Greater Gombak ini, UIAM menerajui aktiviti dan inisiatif pendidikan lestari bersama masyarakat, industri dan sektor kerajaan menerusi tiga kategori aktiviti iaitu tranformasi masyarakat, kerohanian dan kelestarian serta kesejahteraan,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, menurut Rektor UIAM Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak, pengiktirafan itu bermakna UIAM kini mempunyai peranan global dalam menentukan pendidikan bagi membina masyarakat sekeliling.

“Ini adalah satu rencana di bawah Bangsa-bangsa Bersatu dimana sekarang ini pendidikan diberikan keutamaan dalam menentukan apakah bentuk masa hadapan yang kita akan ungkapkan bersama.

“Bukan sahaja bagi universiti tapi bagi masyarakat sekitarnya,” kata beliau menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Berdasarkan usaha yang telah dimulakan oleh UIAM sejak 18 bulan lalu itu, antara aktiviti yang telah dijalankan adalah pendidikan asnaf di Perlis, pelancongan lestari di Pagoh, kesihatan lestari di Kuantan dan sekolah sejahtera di Terengganu.

Difahamkan, satu sesi jaringan kolaborasi dalam talian bersama pusat kepakaran serantau lain di seluruh dunia telah diadakan bagi memberi sijil pengiktirafan kepada RCE Greater Gombak.

Sesi berkenaan disaksikan oleh wakil dari Bahagian Pendidikan untuk Pembangunan Lestari, Pejabat UNESCO Paris dan juga UNU.