Universiti Teknologi Mara sudah menyerahkan cadangan membina benteng banjir "boleh laras" kepada kerajaan negeri Kedah dan Johor untuk menyelesaikan masalah banjir di dua negeri itu.

Naib Canselor UiTM Tan Sri Profesor Sahol Hamid berkata cadangan tersebut juga sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk tindakan lanjut.

Jelas Sahol, projek itu merupakan antara bahan kajiannya sejak 10 tahun lalu dan kini sudah digunapakai di England.

Beliau yakin projek ini sesuai dilaksanakan di Alor Setar, Muar, Kota Tinggi dan beberapa kawasan di Sarawak yang sering mengalami banjir saban tahun.

Tambahnya, projek ini tidak akan menjejaskan pemandangan di tebing sungai kerana bentengnya boleh diselaraskan mengikut paras air sungai, lantas tidak mengugat nilai estetika sungai berkenaan.

"Benteng ini akan bergerak naik bila air naik, kalau air sungai masih tinggi, benteng tu akan naik sekali, tetapi bila air turun benteng akan turun, ia tidak akan tutup pandangan sungai. Berbeza dengan teknologi terdahulu yang mana kedua-dua belah benteng akan menutupi pemandangan sungai," jelasnya.

Tambah Sahol lagi, pihak kerajaan negeri Kedah dan Johor sedang menunggu kajian lanjut oleh UiTM mengenai projek berkenaan terutama melibatkan bahan binaan yang boleh memberi kesan kepada harga projek berkenaan.

Beliau percaya berdasarkan kajian kos, projek ini mampu dilaksanakan dengan lebih murah berbanding di England yang menelan belanja £4.4 juta (RM21.1 juta).

Terdahulu Sahol bersama beberapa pakar banjir dari UiTM mengadakan lawatan projek benteng air di Cumbria, England yang berfungsi bagi mengawal banjir yang berpunca dari Sungai Cockermouth.

Benteng berketingian 120 meter itu dibina selepas bandar Cumbria dilanda banjir besar pada 2009.