Hubungan Malaysia dan United Kingdom (UK) akan terus diperkukuh pasca pilihan raya yang diadakan di negara itu ketika ini.

Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell berkata walaupun sebelum ini beberapa kali kerajaan Britain bertukar pemimpin, namun kerjasama pelaburan, perdagangan, pendidikan dan pelbagai lagi terus erat.

"Mungkin ramai rakyat Malaysia yang menunggu keputusan pilihanraya ini, tapi suka saya ingatkan bahawa hubungan rakyat kedua-dua negara, hubungan Britain dan Malaysia tidak akan berubah.

"Kita telah menjadi sekutu dan rakan kerjasama sejak lama dahulu. Komitmen sesama kita amat kukuh termasuk dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pelbagai lagi.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] UK Memilih 2017

"Persatuan pelajar Malaysia di UK adalah yang kedua terbesar dalam banyak persatuan lain. Ia bukan sahaja melibatkan rakyat Malaysia ke UK, sebaliknya institusi pendidikan di Britain telah bersama di sini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika menyaksikan keputusan Pilihan Raya UK 2017 di kediamannya di sini hari ini.

Jelas beliau lagi, dinamik dalam perhubungan dua hala telah menjadi pemangkin kepada kemajuan pelbagai sektor.

"Lebih 40,000 rakyat Britain datang ke Malaysia. Puluhan ribu rakyat Malaysia pergi ke UK setiap tahun. Terlalu banyak kesamaan dinamik antara kita.

"Cara perniagaan dijalankan, institusi-institusi kita bekerjasama termasuk dalam komuniti perundangan termasuk ketenteraan," katanya.

Justeru, beliau berharap tidak kira siapa yang akan memimpin UK, hubungan Malaysia dan kemajuan ASEAN akan terus dipertingkat demi kemajuan bersama.