United Kingdom memuji sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia, sekali gus mengiktiraf kuasa rakyat yang membuat pilihan sehingga berjaya membentuk kerajaan Malaysia Baharu.

Menurut Menteri Britain bagi Asia dan Pasifik Mark Field, rakyat Malaysia harus dipuji kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dalam sistem demokrasi untuk membuat perubahan mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Field yang berada di Malaysia untuk lawatan kerja selama tiga hari pada awal Oktober lepas, turut menyuarakan hasrat untuk melihat lebih banyak perubahan di masa depan.

Turut mengiringi Field dalam lawatan tersebut adalah Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Vicki Treadell.

Menurut kata Field, UK akan terus meningkatkan hubungannya dengan negara Asia.

Ketika ini, UK menjalinkan pelbagai bentuk kerjasama dengan Malaysia termasuk dalam bidang pendidikan, pertanian, keselamatan selain teknologi dan kesihatan.

Peluang dalam bidang kesihatan

Field turut menambah pihaknya meneliti peluang dalam bidang kesihatan membabitkan hospital swasta, termasuk bagaimana Malaysia mampu menikmati kelebihan daripada dana kemakmuran sejagat yang diperuntukkan oleh UK untuk kerajaan di luar negara.

Tambahnya, kerjasama tersebut diharap memberi peluang kerjasama dan inovasi kedua-dua negara terutama dalam bidang kesihatan.


Field turut mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan bertemu dengan pemimpin belia serta ahli dari parti pembangkang.

Teruskan hubungan dengan UK

Dalam lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke UK, Malaysia dijangka akan mengadakan rundingan dagangan dengan UK selepas Brexit.

Tambahnya, Malaysia akan meneruskan hubungan dua hala dengan UK yang dinikmati sejak sekian lama selepas Merdeka, biarpun dengan atau tanpa Kesatuan Eropah.