Seekor ular sawa batik sepanjang 6 meter dan seberat 70 kilogram ‘kempunan’ tidak dapat menelan seekor babi hutan selepas sepasukan empat anggota dan pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling menangkapnya.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 1.40 pagi di kawasan semak belakang rumah penduduk di Taman Kota Jaya, Pulai itu, ular tersebut bertindak agresif ketika cuba melepaskan diri daripada ditangkap.

Seorang penduduk, Pang Wong Wah, 40, berkata, dia terdengar bunyi bising di belakang rumah dipercayai haiwan itu sedang bergelut dengan ular sawa.

Dia kemudiannya keluar dan memeriksa belakang rumahnya sebelum ternampak ular sawa sedang membelit dan menelan babi.

Panik dengan keadaan itu, dia menghubungi talian 999 untuk bantuan kecemasan.

Pegawai APM Baling, Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.50 pagi dan tiba ke lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

Anggota APM mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap ular sawa itu.

Katanya, ular sawa itu agak agresif dan memuntahkan bangkai babi berkenaan ketika ditangkap.

Ular berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Baling.

Beliau meminta orang ramai berhati-hati dan sekiranya ada kes kecemasan, hubungi pihak APM atau talian kecemasan 999.