Kemunculan ular sawa batik dalam reban ayam disedari penduduk kampung Bukit Meriam, Kota Kuala Muda, lalu memohon bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Muda.

Pegawai APM Kuala Muda, Kapten Azahar Ahmad berkata pihaknya bergegas ke lokasi pada jam 12.05 tengah malam dan mendapati seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira tiga meter dan seberat kira-kira 4.5 kilogram telah membelit seekor ayam.

Menurutnya, ketangkasan anggota menangkap ular berkenaan dapat mengurangkan risiko ancaman kepada penduduk sekitar.

"Kita nasihati orang ramai agar tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh memudaratkan sekiranya tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang haiwan berbisa," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, APM Kuala Muda telah melancarkan Ops Bantu XVII 2018 bertujuan membuat rondaan dan membantu pengguna jalan raya yang mengalami kesulitan atau kecemasan sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Mereka ini bertindak sebagai pasukan bantuan apabila berlaku kecemasan, ketika menerima panggilan kecemasan dan semasa melakukan rondaan,” katanya.

Antara skop tugas Ops Bantu XVII termasuk memberi respons kepada kes kemalangan maut, kemalangan ringan, rawatan awal, membantu mengawal kesesakan lalu lintas dan menukar tayar kenderaan kecil.