Banyak umat Islam hari ini kurang berilmu menyebabkan mereka mudah diperalatkan untuk menyertai kumpulan pengganas, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata umat Islam yang kurang berilmu tidak berupaya menilai baik buruk sesuatu perkara dan akan lebih tertarik kepada sesuatu fahaman yang menyalahgunakan agama Islam.

Dr Mahathir berkata demikian ketika menyampaikan amanatnya sebagai Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) sempena mesyuarat agung tahunan ke-54 badan itu di sini pada Sabtu.

Beliau juga berkata antara sebab kebanyakan umat Islam kurang menimba ilmu adalah kerana mereka lupa akan wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Rasulullah iaitu keperluan membaca.

"Tentulah membaca itu menjadi sesuatu perkara yang penting. Kita perlu membaca segala-galanya kerana orang yang membaca tetap akan mempunyai ilmu dan memperolehi maklumat.

Maklumat dan ilmu yang kita terima akan menjadikan kita manusia yang sebenarnya mengamalkan cara hidup mengikut ajaran Islam tetapi kita tidak membaca," katanya.

Dr Mahathir turut mengingatkan umat Islam supaya meyakinkan masyarakat bukan Islam bahawa Islam bukan agama yang agresif yang mana umatnya terdiri daripada golongan yang berperwatakan bengis.

Beliau juga berkata, walaupun Islam mengajar umatnya untuk bersederhana, umat Islam juga harus berketrampilan kemas dan berkeyakinan tinggi bagi memperlihatkan Islam sebagai agama yang menjadikan umatnya antara masyarakat yang berjaya dalam hidup.