Universiti Malaysia Kelantan (UMK) disaran melakukan penyelidikan terhadap warisan budaya masyarakat Melayu di negeri ini supaya ia menjadi sumber baharu bagi menambah pendapatan penduduk.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMK Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata antara warisan yang boleh dikomersilkan ialah makanan tradisional seperti nasi kerabu, nasi dagang dan pelbagai kuih-muih.

"Produk-produk itu perlu dibuat kajian bagaimana ia dihasilkan dan boleh dikomersilkan supaya lebih menarik dan tahan lebih lama serta mampu bersaing di pasaran sekurang-kurangnya di dalam negara," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri universiti itu di sini, hari ini.

Hamad Kama Piah berkata peningkatan bilangan pelajar universiti itu melebihi 12,000 orang setakat ini, menjadikan Kelantan lebih kompetitif untuk mengetengahkan produk-produk warisan kepada pelajar yang datang dari luar Kelantan.

Beliau berharap penyelidik universiti itu dapat bekerjasama dengan penduduk menerusi penghasilan produk-produk warisan berkenaan bagi merealisasikan cadangan itu.

Turut hadir bersama lebih 1,000 tetamu pada majlis itu ialah Naib Canselor UMK Prof. Datuk Mortaza Mohamad.

-- BERNAMA