'UMNO akan selesaikan isu berkaitan Felda' - Presiden UMNO

'UMNO akan selesaikan isu berkaitan Felda' - Presiden UMNO
Presiden UMNO: "Tidak lama lagi adalah pengumuman berita baik untuk meleraikan kekusutan, sebab itu saya tidak lupa peneroka Felda merupakan 'bank' kepada UMNO dan BN." - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
KUALA LUMPUR: UMNO akan menyelesaikan isu berkaitan Felda dan memastikan tiada sebarang masalah yang timbul daripada warganya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia termasuk isu khususnya pembayaran buah kelapa sawit yang sering ditangguhkan dan isu penyata hutang tanam semula.

"Tidak lama lagi adalah pengumuman berita baik untuk  meleraikan kekusutan, sebab itu saya tidak lupa peneroka Felda merupakan 'bank' kepada UMNO dan BN.
"Kita jangan lupa jasa kawan-kawan kita yang bergantung kepada Felda," katanya semasa ucapan penggulungan Presiden UMNO semasa Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Sebelum ini, pembahas dari UMNO Bahagian Maran, Datuk Shahaniza Shamsuddin menegaskan, lebih banyak kerusi Parlimen di kawasan Felda dikhuatiri akan jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang jika pelbagai isu yang melingkari komuniti itu tidak ditangani segera.

Jelas Shahaniza, kemungkinan undi protes daripada komuniti itu tidak boleh ditolak kerana masih ada isu membelenggu mereka dan belum diselesaikan kerajaan.

Felda sebelum ini mengumumkan penganjuran sesi Makmal Pemantapan Felda untuk mengenal pasti kaedah terbaik bagi memperkasakan lagi model pengendalian dan perniagaan agensi itu selaras dengan perkembangan dan cabaran semasa.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu, BN menang 48 kerusi dan tewas enam kerusi di parlimen dalam kawasan Felda.

Dalam pada itu, Najib menegaskan, tuduhan pihak tertentu yang melibatkannya dalam mana-mana isu merupakan hasutan daripada pembangkang.

"Setiap kali ada pembunuhan, ramai mendakwa Najib terlibat, kes Altantuya pun saya terlibat, Kevin Morais pun saya kena.

"Saya kena, walaupun sudah bersumpah dalam masjid. Kalau betul saya terlibat isteri saya sudah buat sesuatu," katanya lagi.