Kekalahan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu membuktikan bahawa rakyat sudah jelak dengan cara pentadbiran parti itu.

Itu penjelasan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berhubung perubahan kerajaan pada Mei lalu.

Menurut Rafidah, kemerosotan politik serta peningkatan budaya politik wang antara faktor utama kekalahan UMNO.

"Kegagalan UMNO mengekalkan kedudukan menguasai Kerajaan dalam memerintah negara berpunca daripada kemerosatan dalam bidang politik dan peningkatan dalam budaya politik kewangan dan pembentukan dasar-dasar yang tidak munasabah sehingga membuatkan rakyat fed up dan mengundi kerajaan sekarang.

"Kalau dah lari daripada matlamat sebenar, macam kereta api... kita suruh berhenti dekat Pulau Pinang tapi berhenti di Thailand kenapa?


Ditanya jika beliau hirau sama ada UMNO akan pulih, ini jawab Rafidah: "Lantaklah! Saya tidak emosi dengan parti politik dalam politik tiada tempat untuk emosi. Dalam politik kita nak terguris buat apa... kita buat kerja."

Ujar Rafidah yang juga bekas pemimpin UMNO, beliau hanya akan menyokong parti itu jika politik pembangunan diutamakan.

Beliau berkata demikian dalam Bicara Minda anjuran Sinar Harian yang disiarkan secara langsung di Astro AWANI pada Isnin.