KUALA LUMPUR:Beberapa pemimpin UMNO menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan segera parti politik yang didakwa bersekongkol dengan kartel daging sejuk beku serta menyalah guna logo halal seperti didakwa Jaringan Melayu Malaysia (JMM).

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, laporan polis dibuat JMM menggemparkan banyak pihak namun setakat ini, masih belum jelas parti manakah dimaksudkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut.

“Melalui sidang media itu, kami dengar JMM kata ada parti politik turut terlibat dalam isu tersebut malah terlibat dalam usaha menjatuhkan National Feedlot Corporation (NFC).

“Persoalannya ialah parti politik yang mana lakukan perkara ini kerana ia adalah perkara yang sangat penting untuk negara khususnya umat Islam di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Gesaan sama turut disuarakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya yang menggesa polis menyiasat sesiapa sahaja yang didapati bersekongkol dengan kartel daging berkenaan.

“Sebelum ini kita mendengar dakwaan skandal NFC sehingga menyebabkan nama baik keluarga bekas Menteri Kesejahteraan Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Seri Shahrizat Jalil terjejas teruk.

“Namun, sehingga kini kita tidak mendengar sebarang kesalahan atau pendakwaan dijatuhkan ke atas mereka, walhal saya sendiri bersedia menerima hakikat sekiranya skandal NFC itu satu perkara benar.

“Bagi saya, paling penting pihak berkuasa termasuk polis mengambil tindakan tegas dengan segera terhadap sesiapa sahaja petualang yang bersekongkol dengan kartel berkenaan, termasuk ahli dan parti politik,” ujarnya.

Kelmarin, JMM membuat laporan polis supaya pihak berkuasa itu menyiasat penglibatan parti politik dan sekutunya yang didakwa bersekongkol dengan pihak kartel daging sejuk beku untuk terus menguasai pasaran negara ini.

Ini termasuk pembabitan ahli politik dipercayai turut bekerjasama dengan pihak kartel itu dengan cara menghalang tertubuhnya syarikat Melayu Bumiputera di bawah kerajaan seperti NFC.