Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengiktiraf peranan wanita termasuk golongan warga emas dan ibu tunggal dengan memastikan kebajikan kumpulan berkenaan sentiasa diutamakan.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata ini terbukti dengan pengumuman manifesto BN oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Sabtu lalu, yang menyebut dan memberi tumpuan terhadap peranan wanita di awal pengumuman manifesto tersebut.

"Dalam manifesto tersebut diungkap dengan baris-baris ayat yang cukup baik iaitu ibu dan wanita merupakan ratu hati negara sekali gus menunjukkan keseriusan dan kesungguhan kerajaan untuk membela wanita.

"Apa yang kita tidak lakukan pada wanita dalam negara ini? Wanita daripada peringkat muda, dewasa sehingga warga emas semua dibela kerajaan dan tidak dapat dibandingkan dengan parti lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 Meraikan Ibu Tunggal Parlimen Lumut yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria, di sini pada Selasa.

Pada program tersebut, 3,000 ibu tunggal di kawasan Parlimen Lumut menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata sejak program bantuan UMNO Bantu Rakyat 2.0 dilaksanakan pada September tahun lepas, lebih 400,000 orang dari seluruh negara menerima bantuan termasuk golongan ibu tunggal.

Sementara itu, beliau berkata sehingga kini kerajaan tidak pernah mengetepikan peranan wanita dengan beberapa kedudukan dan jawatan tertinggi dalam sektor kerajaan dipegang golongan tersebut.

"Di peringkat pusat, jawatan utama di kementerian kanan dan kementerian tertinggi, kita boleh lihat berapa banyak yang dipegang wanita termasuk suatu ketika di Unit Perancangan Ekonomi dan Bank Negara.

"Itu menunjukkan pengiktirafan BN pada wanita. Bukan setakat itu, program terhadap wanita cukup banyak dan kita tengok dalam manifesto yang diungkap kerajaan banyak melonjakkan wanita," katanya.

-- BERNAMA