Badan Perhubungan UMNO Kelantan menyambut baik pelantikan Datuk Azhar Harun sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-10 sambil menyifatkan Azhar sehaluan dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, pelantikan berkenaan juga tidak bercanggah dengan Perlembagaan dan peraturan mesyuarat kerana usul menukar Yang Dipertua Dewan itu dibawa sendiri oleh Perdana Menteri yang mewakili kerajaan pada hari ini.

"Bahkan usul yang dibawa oleh Perdana Menteri telah diterima oleh mantan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk dibahas oleh ahli-ahli Dewan Rakyat mengikut lunas perlembagaan dan peraturan mesyuarat," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menjelaskan kekecohan yang sengaja ditimbulkan oleh pihak pembangkang dapat diterjemahkan sebagai tindakan tidak menghormati sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan sejak sekian lama di negara ini.

"Kita seharusnya menghormati usul ini kerana ia dibawa oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, sewajarnya kita hormati dan beliau berhak untuk mengemukakan usul melantik Yang Dipertua Dewan yang difikirkan boleh bekerjasama dengan Kerajaan, adil serta tidak berat sebelah," tambahnya lagi.

Pada masa sama, beliau menjelaskan Perdana Menteri pastinya akan memilih individu yang difikirkan berdiplomasi dan mampu berunding dengan Ahli Dewan Rakyat kerana terlalu banyak urusan mesyuarat yang berkaitan dengan Kerajaan berlangsung sepanjang persidangan.

Urusan mesyuarat merupakan urusan yang melibatkan kepentingan rakyat dan pelantikan ini seharusnya melangkaui kepentingan mana-mana satu parti yang ada di dalam Dewan Rakyat.

Azhar Azizan merupakan individu yang sesuai menyandang jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, berdasarkan pengalamannya sebagai pengamal undang-undang sejak lebih 30 tahun yang lalu.