Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menfailkan 41 kes permohonan melucut hak melibatkan jumlah dana bernilai RM270 juta yang diterima daripada syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua hari lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, pihaknya mengenal pasti 41 individu dan entiti tempatan yang terlibat di dalam transaksi berkenaan.

"Sebanyak 41 responden telah dikenal pasti dan telah difailkan permohonan untuk lucut hak di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001.

"Ini melibatkan individu, organisasi, syarikat dan mahkamah telah menetapkan tarikh 25 Jun, 10, 24 dan 31 Julai 2019 untuk pengurusan kesemua 41 kes berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada Jumaat.


Mengulas lanjut, Latheefa juga menyatakan transaksi paling tinggi melibatkan parti UMNO iaitu sebanyak RM212 juta dan ia turut melibatkan satu akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Parti lain termasuk parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti Wanita MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak.

"Antara entiti dan organisasi lain termasuk Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Yayasan Tun Hussien Onn, Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia, Jakel Trading Sdn Bhd, Habib Jewels Sdn Bhd, Naza Quest Auto Sdn Bhd," jelasnya.

Sumber SPRM

Menurut Latheefa, langkah berkenaan dibuat bagi mendapatkan semula wang negara melalui transaksi yang paling jelas dikesan berhubung 1MDB dan penerima dana tersebut.

"Ini cara yang paling mudah untuk mendapatkan dana tersebut daripada responden tanpa perlu mendakwa mereka kerana proses pendakwaan akan mengambil masa yang lama.

"Responden juga diminta supaya mengembalikan wang milik 1MDB secara sukarela jika tidak mahu tindakan undang-undang diambil," jelasnya.

Sementara itu, Latheefa berkata, sebanyak dua individu telah memulangkan semula RM2 juta wang yang diterima daripada 1MDB kepada pihak berkuasa.

"Jika anda menerima duit haram yang tidak diketahui sumber anda perlu membuat laporan dan mengisytiharkan duit berkenaan bukan duit anda, jika tidak tindakan akan dikenakan termasuk membekukan akaun," kata beliau lagi.