UMNO Pasir Salak belum membuat keputusan sama ada mengekalkan muka lama atau memilih calon baharu bagimewakili parti untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Negeri (DUN) bahagian itu bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Bahagiannya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata senarai nama calon hanya akan dihantar kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak selepas diminta berbuat demikian.

"UMNO Pasir Salak kita ikut budaya Melayu. Di suruh pergi, kita pergi, dipanggil datang kita datang. Adab dan bersopan.

"Kita tahu ada antara bahagian yang telah hantar nama kepada UMNO Pusat tapi setakat ini Presiden tak minta apa-apa pun daripada kita. Kalau ada nanti, kita akan buat mesyuarat untuk tentukan calon," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Ibu Tunggal Malaysia Parlimen Pasir Salak di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerusi Parlimen Pasir Salak dimenangi Tajuddin dengan majoriti 7,386 undi.

Kerusi DUN Sungai Manik pula dimenangi Datuk Zainol Fadzi Paharudin dengan majoriti 1,854 undi manakala DUN Kampung Gajah disandang Abdullah Fauzi Ahmad Razali dengan majoriti 6,100 undi.

Tajuddin berkata beliau secara peribadi berlapang dada mengenai calon yang hendak dipilih selain percaya pelbagai kemungkinan boleh berlaku membabitkan isu berkenaan.

"Banyak kemungkinan boleh berlaku sama ada nama lama mungkin dikekalkan atau tidak. Bagi kita, paling utama calon yang kita nak pilih itu mesti winnable," katanya.

Beliau berkata, paling penting semua sayap parti di peringkat bahagian perlu terus melipatgandakan usaha dan meneruskan gerak kerja mendekati masyarakat di kawasan Parlimen tersebut.

-- BERNAMA