LELAKI yang viral dengan aksi "deyy" dalam satu rakaman video semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang tersinggung dengan tindakannya.

Jelas S Kanagarajah, aksi berkenaan dirakam secara spontan dan tidak disengajakan.

"Hari itu kalau saya menyinggung perasaan sesiapa, saya minta maaf. Saya bukan sengaja... masa itu memang saya emosi sebab saya lihat orang berlumuran darah," katanya dalam satu temu bual di Facebook Live Sinar Harian hari ini.

Kanagarajah berkata aksi geramnya itu dirakam seorang individu yang berada di lokasi kejadian untuk membantu orang awam.

"Rakaman video itu dibuat secara spontan. (Perakam) itu bukan orang India. Dia salah seorang yang nak beri bantuan," jelasnya.

Dalam pada itu, Kanagarajah menegaskan, dia tidak mengejar populariti selepas viral di media sosial.

"Memang sekarang saya sudah dapat macam-macam panggilan, tetapi bukan cara saya mahu populariti. Sesiapa nak interview, saya datang dan nak bersihkan nama saya.

"Ini bukan masalah perkauman. Ini ikhlas dari hati saya," tambahnya.

Mengulas mengenai perkataan 'deyy', dia menyifatkan ia bukan satu bahasa kasar.

"Perkataan 'deyy' itu boleh panggil untuk sahabat, dan itu terpulang kepada keadaan," katanya.

Dalam temu bual berkenaan, Kanagarajah turut mengulangi aksi 'deyy' yang menjadi viral itu.