Fadzli Fadhilah, Presiden Muscleteer Malaysia, sebuah kumpulan sokongan untuk pesakit distrofi otot dan ALS menuntut agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap mereka yang melakukan jenayah terhadap Orang Kurang Upaya (OKU).

Trauma setelah dirompak dua kali dalam satu minggu, Fadzli, 37 yang mengalami Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) nekad ke Parlimen dan menghantar permohonannya kepada Senator Dewan Negara yang juga merupakan Setiausaha Persatuan Kecederaan Spina Malaysia, Bathmavati Krishnan, pada Khamis.

“Undang-undang dan akta baru perlu diperkenalkan untuk melindungi OKU kerana kami golongan yang tidak berdaya melindungi diri sendiri dan mempunyai banyak batasan” kata Fadzli yang juga berkerusi roda.

Fadzli turut berkongsi pengalamannya apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas kekurangannya, walau di rumahnya sendiri.

Insiden pertama berlaku apabila seorang lelaki penghantar makanan segera membuat penghantaran palsu dan Fadzli dirompak sebanyak RM100 di rumahnya yang terletak di Bandar Tasik Selatan.

Fadzli berkata, lelaki berkenaan pernah ke rumahnya sebelum ini untuk menghantar makanan dan berkemungkinan telah memerhati keadaan rumahnya buat kali pertama.

"Saya hubungi syarikat makanan segera berkenaan agar mereka mengambil tindakan sewajarnya, namun mereka seolah-olah memperlekehkan aduan saya hanya kerana saya seorang OKU” cerita Fadzli yang merujuk kepada cawangan makanan segera berkenaan yang menafikan tanggungjawab mereka ke atas rompakan tersebut.

Fadzli membuat laporan polis sebanyak dua kali berhubung kejadian tersebut, tetapi syarikat makanan segera terbabit enggan berkerjasama dan mengambil tindakan atas alasan perkhidmatan penghantaran adalah bukan di bawah tanggungjawab mereka.

Dalam kejadian kedua pula, barang-barang berharga yang bernilai ribuan ringgit milik Fadzli dicuri oleh seorang lelaki yang berpura-pura menawarkan perkhidmatan pembersihan rumah.

Perkara tersebut telah meninggalkan kesan trauma kepada Fadzli yang selepas itu turut takut untuk ke pusat beli belah seorang diri.

"Saya terbayangkan jika saya berada dalam tandas OKU dan pencuri datang dengan tiba-tiba. Tiada siapa yang akan tahu jika dia merompak atau mencederakan saya di dalam tandas. Apa yang saya lakukan jika berada di pasaraya adalah dengan berada di kawasan yang sibuk atau tunggu saja rakan - rakan saya yang bukan OKU untuk membantu. Saya hidup dalam ketakutan, kerana OKU macam saya mudah terdedah dengan bahaya.

"Perkara ini membuatkan saya berasa tertekan, murung dan hilang keyakinan diri” kata Fadzli dalam satu artikel yang dimuatnaik di Facebooknya iaitu 'Fazz Fadhilah vs Muscular Dystrophy’.

Selain mahukan hukuman yang lebih berat, Fadzli juga menggesa masyarakat agar lebih prihatin terhadap keperluan dan keselamatan OKU.

"Walaupun OKU ini golongan yang tidak sempurna, namun kami juga adalah sebahagian daripada masyarakat. Mari kita sama-sama menghargai kepelbagaian bentuk masyarakat, menerima keterangkuman (inklusif) ini dan menjadikan golongan OKU berasa diterima baik dikalangan masyarakat” katanya lagi.