Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) percaya bahawa ketelusan boleh dicapai dengan memperkenalkan undang-undang kebebasan maklumat seiring dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Pengerusi Suhakam Tan Sri Razali Ismail berkata, dengan berbuat demikian kedua-dua undang-undang dapat berfungsi sebagai semak dan imbang antara kerajaan dan masyarakat serta memastikan ketelusan dan keselamatan negara dilindungi bersama.

Dalam ucapan pembukaan semasa "Round Table Discussion on Access to Information in Malaysia" di sini hari ini, beliau berkata keperluan untuk maklumat boleh diakses secara bebas adalah penting untuk mewujudkan masyarakat yang telus dan terbuka.

"Sebagai contoh, walaupun kerajaan menekankan keperluan untuk melindungi beberapa jenis maklumat yang mungkin mempunyai kaitan dengan keselamatan negara, ini tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menyekat perkongsian maklumat dan kurangnya ketelusan di pihak kerajaan," kata beliau.

Sebaliknya, ketelusan antara kerajaan dan masyarakat perlu menjadi norma dan sekatan akses kepada maklumat tersebut perlu dilaksanakan secara sewajarnya, kata beliau.

-- BERNAMA