Semua undang-undang kecil baharu bagi kawalan dan pelesenan anjing akan berkuat kuasa pada 1 Dis ini dalam usaha mengawal penyakit rabies atau anjing gila di negeri ini daripada merebak, kata Menteri Muda Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil.

Beliau berkata undang-undang kecil baharu itu terpakai kepada kesemua 26 kerajaan tempatan di negeri ini, yang akan membolehkan pihak berkuasa tempatan mempunyai kawalan yang lebih berkesan terhadap populasi anjing di Sarawak, yang dianggarkan berjumlah lebih 300,000 ekor.

"Di bawah undang-undang kecil baharu ini, pihak berkuasa tempatan mungkin mewajibkan pemilik anjing menunjukkan bukti bahawa anjing peliharaan mereka telah diberi suntikan vaksin anti rabies atau vaksin lain sebelum sebarang lesen boleh dikeluarkan atau diperbaharui.

"Undang-undang kecil ini akan juga memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk merampas dan mengurung mana-mana anjing yang berkeliaran selama 48 jam dan anjing yang dirampas itu hanya akan dilepaskan setelah pemiliknya melunaskan bayaran mengurung RM50 sehari atau sebahagian daripadanya. Mana-mana anjing yang tidak dituntut akan ditidurkan," kata Dr Penguang pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, beliau berkata anjing kepunyaan Angkatan Tentera, Polis, Jabatan Kastam, Jabatan Veterinar atau agensi kerajaan yang lain dikecualikan daripada penguatkuasaan undang-undang kecil itu.

Beliau berkata pengecualian ini turut diberi kepada anjing di bawah jagaan sementara Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan Sarawak atau mana-mana badan yang diiktiraf dan diperakui oleh menteri yang bertanggungjawab bagi kerajaan tempatan.

"Anjing di rumah panjang dan kampung di kawasan pedalaman tidak perlu dilesenkan, tetapi pihak berkuasa boleh memberi suntikan anti rabies kepada haiwan berkenaan," kata Dr Penguang, yang juga ADUN Marudi.

Beliau berkata di bawah undang-undang kecil itu, pemilik dihadkan untuk memelihara tiga ekor anjing bagi setiap kediaman bertanah atau seekor baka kecil bagi rumah pangsa atau pangsapuri.

"Menjadi kesalahan bagi pemilik untuk memelihara anjing yang berpenyakit," katanya.

Terdapat 13 kes penyakit rabies yang mengorbankan 12 nyawa dilaporkan setakat ini.

-- BERNAMA