Undang-undang baharu khusus bagi mengekang penularan berita palsu sehingga hari ini masih menjadi bualan hangat masyarakat, walaupun masih di peringkat draf dan belum dibentang ke Kabinet.

Segelintir pihak, termasuk daripada pihak pembangkang, menganggap ia satu lagi cubaan kerajaan menidakkan kebebasan bersuara serta mengawal rakyat daripada meluahkan pendapat.

Ada juga yang berpendapat akta sedia ada sudah cukup untuk menangani masalah ini dan hanya memerlukan sedikit pindaan bagi memastikan ia relevan dengan situasi masa kini.

Editor Sinar Harian Mohammad Fairuz Jumain, sebagai contoh, berpendapat bahawa undang-undang sebegitu diperlukan, dengan syarat kebebasan bersuara turut terlindung di bawahnya.

Bagi pegawai undang-undang Mediha Mahmood, beliau tertanya-tanya mengapa perlunya ada undang-undang baharu sedangkan undang-undang sedia dilihat masih relevan untuk menghadapi isu berkenaan.

Namun, beliau mengharapkan kewujudan undang-undang itu lebih terperinci, termasuk dengan penguatkuasaan.

Wartawan Reuters, Rozanna Latiff berkata sudah cukup undang-undang untuk mengawal maklumat di negara ini. Sebaliknya, katanya lagi, apa yang perlu adalah menaik taraf piawai pemberitaan di negara ini.

BACA: Kerajaan kaji perkenal undang-undang tangani berita palsu

BACA: Jawatankuasa khas kaji undang-undang berita palsu dibentuk – Azalina

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, Astro AWANI telah menghubungi Ketua Panel Penyelidik Universiti Malaya Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

Beliau berkata ledakan maklumat masa kini sangat luas sehingga mempunyai kecenderungan atau potensi untuk dimanipulasi pihak tidak bertanggung jawab.

“Penyebaran berita palsu ini sangat berbahaya kepada masyarakat kerana ia boleh memudaratkan rakyat negara kita dan boleh menjejaskan ekonomi, politik dan sosial negara.

“Berita palsu ini juga boleh sebabkan fitnah kepada individu, politik, perniagaan, persatuan dan syarikat,” katanya lagi.

Selain itu, Awang Azman berkata tidak seharusnya inisiatif kerajaan memperkenalkan undang-undang itu dianggap satu langkah mengawal atau menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya harus dilihat daripada sudut keperluan untuk memelihara kesejahteraan negara.

“Dalam konteks ini, bukan bermakna menyekat rakyat bersuara, tetapi sebaliknya memastikan apa-apa yang disuarakan ada kebenaran dan sahih,” katanya lagi.