Timbalan Perdana Menteri memaklumkan undang-undang lapuk di Malaysia boleh disemak semula, tetapi ia harus bersandarkan kepada ajaran agama yang sebenar.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, isu berkaitan akidah tidak boleh dikompromi dan menegaskan, amalan yang bertentangan dengan agama Islam tetap haram di sisi Tuhan.

Bagaimanapun, katanya, perkara ini belum dibincangkan di peringkat Pakatan Harapan (PH).

"Undang-undang itu digunakan ke atas suami saya (Datuk Seri Anwar Ibrahim), tetapi tidak pernah digunakan ke atas orang lain," katanya tanpa menjelaskan secara khusus undang-undang yang dimaksudkan.

"Islam adalah agama rasmi persekutuan dan ada beberapa perkara yang sukar untuk saya terlibat kerana adanya undang-undang shariah dan sivil.

"Ia boleh disemak tetapi harus bersandarkan Al-Quran dan sunnah," tambahnya ketika ditemubual menerusi program The Breakfast Grille yang disiarkan stesen radio BFM hari ini.

Sementara itu, Dr Wan Azizah juga mengulangi kenyataan bahawa beliau akan mengosongkan kerusi Timbalan Perdana Menteri apabila Anwar menjadi Perdana Menteri.

"Lantikan Timbalan Perdana Menteri dibuat oleh Perdana Menteri. Inilah propaganda yang mereka (pembangkang) lakukan. Jika beliau jadi PM, saya akan undur diri."

Bagaimanapun beliau menegaskan akan mengekalkan kerusi Parlimen Pandan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini.

Ikuti temubual penuh menerusi aplikasi BFM 89.9.