Kerajaan akan meminda atau mewujudkan undang-undang baharu, termasuk kod etika sedia ada bagi membolehkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan barisan Menteri Kabinet turut ditakrifkan sebagai pegawai pentadbiran awam.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata langkah ini bagi membolehkan tindakan diambil terhadap mana-mana ahli-ahli politik yang menjadi anggota jemaah Kabinet sekiranya mereka terlibat dalam gejala rasuah.

"Sebelum ini, ada keputusan yang menyifatkan Perdana Menteri bukan anggota pentadbiran awam. Kami (Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah) memutuskan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri adalah anggota pentadbiran awam termasuk ahli-ahli Kabinet yang lain," kata Dr Mahathir.

“Dan mereka tidak terlepas daripada tindakan undang-undang jika memiliki aset yang tidak dapat dijelaskan bagaimana dapat aset itu,” katanya kepada sidang media selepas selesai mempengerusikan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, “Pegawai Badan Awam” bermaksud mana-mana orang yang menjadi anggota, pegawai, pekerja atau pekhidmat sesuatu badan awam, dan termasuklah anggota pentadbiran, ahli Parlimen, ahli sesuatu Dewan Undangan Negeri, hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan.

Turut ditakrifkan ialah mana-mana orang yang menerima apa-apa saraan daripada wang awam, dan jika badan awam itu ialah suatu perbadanan seorang, termasuklah orang yang diperbadankan sebagai perbadanan itu.

Pada Februari tahun ini, Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bagi mendapatkan kebenaran merayu dalam kes samannya yang mendakwa Perdana Menteri ketika itu (Datuk Seri Najib Tun Razak), melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam dan pentadbiran membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif dalam keputusan sebulat suara bersetuju dan menerima keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memutuskan bahawa Najib bukan penjawat awam.

Mengulas mengenai cadangan pewujudan Akta Pembiayaan Politik, Dr Mahathir berkata kerajaan sedang melihat cara negara-negara lain menangani isu itu, termasuk undang-undang yang mereka gunakan.

“Pembiayaan politik itu perlu, parti-parti politik memang memerlukan dana, pilihan raya juga memerlukan dana. Namun, persoalannya dari mana dana itu datang. Kebiasaannya ia datang dari sama ada ahli parti tersebut atau penyokongnya.

“Tetapi, jika dalam situasi penyokong itu memberi dana dengan harapan, apabila parti itu menang, dia akan mendapat faedah daripada kemenangan itu, maka perbuatan itu adalah rasuah," jelas beliau.