Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra) menegaskan bahawa undang-undang syariah, terutamanya bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan)1965 (RUU355), hanya melibatkan individu beragama Islam dan tiada kaitan dengan bukan Islam.

Ketua Eksekutif dan Peguam Centhra, Azril Mohd Amin, berkata perkara itu dinyatakan dengan jelas dalam Bahagian 1 Senarai II Jadual Kesembilan yang menyatakan bahawa Mahkamah Syariah, yang menjadi subjek RUU355, mempunyai bidang kuasa hanya untuk orang Islam dan tidak melibatkan bukan Islam.

Justeru beliau berkata, pandangan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa bukan Islam mempunyai hak untuk terlibat dalam perdebatan mengenai undang-undang, termasuk yang memberi kesan kepada mereka secara tidak langsung seperti Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan), adalah salah.

"Kami di Centhra sentiasa mengekalkan bahawa undang-undang syariah, khususnya RUU355 hanya memberi kesan kepada umat Islam dan tidak kena mengena dengan orang bukan Islam," katanya.

Azril juga tidak bersetuju dengan pandangan Anwar bahawa RUU335 hanyalah semata-mata interpretasi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Ia tidak begitu kerana bidang kuasa mahkamah secara rutinnya sentiasa meningkat, sejak bidang kuasa mahkamah dinaikkan pada 1984 dan mahkamah sivil juga mempunyai bidang kuasa mereka sendiri yang dinaikkan pada 2010," menurut kenyataan itu.

Terdahulu pada Ahad, Anwar dilaporkan berkata orang bukan Islam di Malaysia mempunyai hak untuk terlibat dalam perdebatan semua undang-undang termasuklah RUU355, kerana ia juga boleh memberi kesan kepada mereka. -- Bernama