Undian secara terbuka berhubung isu penceraian di laman sosial tidak wajar dilakukan.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, perkara seumpama itu juga tidak patut dijadikan gurauan, apatah lagi melakukan undian secara terbuka.

Jelasnya, perbuatan seperti itu juga boleh mencalarkan imej individu yang terlibat.

"Kalau yang olok-olok boleh menjadi sungguh, benda yang sungguh, lagi lah.

"Ia jelas, tiga perkara tidak boleh menjadi bahan gurau iaitu cerai, rujuk dan nikah. Andai kata gurauan itu dalam bentuk jahil atau terlatah, ia boleh membawa tiga perkara ini untuk menjadi sungguh," katanya.

Sebelum ini, pelakon Nadya Syahera terkejut dengan tindakan suaminya, Fizul Nawi yang meminta pandangan netizen menerusi kaedah undian di Insta Story berhubung masa depan rumah tangga mereka yang dikatakan sedang bergolak.

Nadya sebelum ini mendakwa usahawan itu tidak pulang ke rumah selama sebulan selain berlaku curang dengan seorang wanita lain.

Spekulasi itu mengundang perhatian ramai sejak Jumaat lalu. Atas alasan itu juga Fizul bertindak membuka ruangan undi di Insta Story berhubung perkahwinannya.