Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) di Malaysia menyumbang sebanyak US$202,000 (RM859,000) kepada Tabung COVID-19 Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Menurut kenyataan UNDP hari ini, dana itu disalur bagi memastikan bahawa pusat kuarantin dan rawatan terpilih dilengkapi sepenuhnya untuk operasi yang berkesan dan ini sejajar dengan tawaran UNDP untuk memperkukuh respons kesihatan awam dengan mengurangkan halangan kepada perkhidmatan kuarantin terutama yang menyasarkan masyarakat berisiko tinggi.

Cek disampaikan Wakil Residen UNDP bagi Malaysia, Singapura dan Brunei iaitu Niloy Banerjee kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Ketua Pengarah Nadma Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya.

Banerjee mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia, Nadma dan sektor kesihatan khususnya atas kejayaan bertindak balas serta mengurangkan jangkitan COVID-19 di negara ini dengan 8,562 pesakit pulih sepenuhnya setakat 20 Julai.

"UNDP Malaysia berdiri teguh bersama-sama Kerajaan Malaysia dan rakyatnya pada masa yang kritikal ini. Kita perlu bersatu sebagai komuniti global untuk menghapuskan virus itu dan berusaha ke arah pemulihan jangka panjang daripada krisis tersebut, serta bersiap sedia untuk menangani cabaran masa depan," menurut Banerjee dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut UNDP akan turut menyokong pendekatan pelbagai sektor kerajaan menerusi analisis strategik respons Malaysia terhadap COVID-19 dan proses pembelajaran bagi respons kecemasan serta perancangan kesiapsiagaan.

-- BERNAMA